Thursday, December 4, 2014

ORANG BIJAK PANJANG UMUR
















Masih dapat hidup adalah nikmat yang luar biasa.   Sayangnya, jarang-jarang manusia mensyukurinya. Mereka menganggap  hidup adalah nikmat yang biasa-biasa.Justeru ramai yang tidak berterima kasih kepada Tuhan kerana masih dihidupkan.  Padahal Rasulullah saw mengajar kita supaya membaca doa ini sebaik sahaja kita bangun daripada tidur:


"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan."


(Riwayat Ahmad dan al-Nasa').


Dapat bangun daripada tidur dan hidup lagi pada setiap hari wajib disyukuri.  Ini kerana tidur itu hakikatnya separuh daripada kematian.



Berapa ramai manusia yang tidur pada malamnya , terus tidak bangun-bangun lagi kerana ajalnya telah sampai.



Walaubagaimanapun cara mensyukuri nikmat hidup tidak cukup sekadar membaca doa sahaja.   Sedangkan apa yang lebih penting adalah menggunakan nikmat hidup selaras dengan tujuan Allah menghidupkan kita.




Jadi gunakanlah hidup untuk menunaikan amanah sebagai hamba Allah, dan khalifah di muka bumi (seperti yang ditegaskan dalan isu-isu Solusi   sebelum ini).




Jadi gunakan umur untuk melaksanakan ibadah - sama ada ibadah khusus, ibadah umum mahupun ibadah sunat   dan tegakkan hukum Allah dalam setiap bidang kehidupan sama ada di peringkat diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.




Hargailah usia ini selaras dengan tujuan Allah mengurniakannya.




Malangnya, usia kerap dipersia-siakan sama ada secara sedar ataupun tidak.  Bayangkanlah, jika paip di rumah rosak dan air sentiasa mengalir dari muncungnya tanpa dapat diberhentikan, kita akan cepat-cepat  memanggil plumber (tukang paip) untuk membaikinya.  Kita akan bertindak segera kerana bimbang bil air kita pada bulan itu akan meningkat dan kita terpaksa membayar lebih daripada kebiasaannya.




Manakala sebagai ibubapa  sebagai ibu bapa yang prihatin, kita selalu berpesan kepada anak-anak untuk menutup suis lampu, kipas, komputer atau alat-alat elektrik yang lain jika tidak digunakan lagi untuk mengelakkan bil elektrik yang melambung tinggi.  Kita katakan kepada mereka agar jangan membazir.


Malangnya sikap yang sama tidak kita tunjukkan terhadap pembaziran masa.  Bukan sahaja anak-anak kita biarkan membuang masa, malah kita sendiri sering membazir masa dengan perbualan kosong, aktiviti-aktiviti yang lalai dan tidak berfaedah tanpa berasa rugi dan bersalah.  Padahal membazir masa ertinya membazirkan usia.




Ironinya, kita tidak terasa begitu kerana kerugian atau pembaziran itu tidak nampak dalam bentuk wang ringgit.



Namum hakikatnya, dengan membazir masa kita kehilangan sesuatu yang lebih berharga daripada harta benda.



Apakah kerugian itu? Ya, umur kita!




Usia yang tersia-sia tidak dapat dikembalikan berbanding wang yang terbazir.




Wang masih boleh dicari lagi, tetapi masa yang berlalu tidak akan kembali.  Hukama ada membuat perumpamaan bahawa kaki kita tidak boleh memijak air yang sama pada air sungai yang mengalir.  Sekali dipijak, air yang kita pijak itu akan terus mengalir ke hilir tanpa dapat dipijak lagi buat kali yang kedua.  Maka begitulah usia yang berlalu, tidak akan dapat dikejar semula walaupun dengan menggunakan jet supersonik yang paling laju sekalipun.




Umur itu Modal




Umur ialah modal untuk kita menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.  Ia adalah kurnia daripada Allah yang dengannya kita membuat sebanyak-banyak  ketaatan demi mencapai kebahagiaan di Shurga.





Justeru, umur mesti digunakan secara optimum.  Dalam apa jua keadaan, umur ialah kesempaan yang tidak boleh dipersiakan.




Bagi hamba Allah yang taat, umur ialah peluang untuk terus menambah sebanyak-banyaknya kebaikkan dan kebaktian.  Bagi yang derhaka, umur adalah kesempatan untuk bertaubat dan membetulkan diri.




Rasulullah s.a.w mengingatkan akan keutamaan usia ini melalui sabdanya yang bermaksud:




"Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian,jika dia orang yang berbuat baik maka mungkin sahaja kebaikanya akan bertambah dan jika dia orang yang berbuat buruk, mungkin sahaja dia akan memohon keampunan." (Riwayat al-Bukhari).





Panjang pendek umur manusia tidak sama.  Kita datang ke dunia seperti menaiki sebuah bas dengan destinasi yang berbeza.  Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun terlebih dahulu.  Ada masanya yang naik dahulu akan turun kemudian dan ada pula yang naik kemudian, tetapi turun terlebih dahulu.





 Maksudnya, ada manusia yang baru dilahirkan tetapi usianya tidak panjang....sudah sampai ajal dan pendek umurnya.  Ada pula yang lahir lebih awal, tetapi masih hidup berbanding yang lahir kemudian. Penetapan ajal ini sangat rahsia dan hak mutlak Allah menentukannya.



Oleh sebab umur tidak diketahui panjang atau pendenya, kita harus bersedia bila-bila masa masa untuk dipanggil bertemu Illahi.  Setiap individu mempunyai ketetapan masing-masing.  Penetapan usia itu telah ditentukan semasa manusia di alam rahim lagi.  Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan.  Antaranya rezeki, tempoh kematian, celaka atau bahagianya kita.





Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:




"Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: 'kejadian seseorang itu dikumpulkan' di dalam perut ibunya selama empat puluh hari.  Sebaik sahaja genap empat puluh hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku.  Manakala genap empat puluh hari, kali ketiga, bertukar menjadi seketul daging.  Kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya ditulis empat perkara iaitu rezekinya, tempoh kematiannya, amalannya serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan."   (Riwayat al-Bukhari no 154).




Hanya 1 1/2 Jam



Namum, berapa pun umur manusia masa kini tidak ada yang pernah mencecah  200 tahun.  Bahkan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w umur kita adalah lebih kurang umur Baginda juga.  Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:



"Umur-umur umatku berkisar antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun.  Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu."  (Riwayat Tirmizi)



Oleh sebab itu, secara hintung panjang umur manusia zaman ini adalah 63 tahun (sama seperti umur Nabi Muhammad ketika wafat).  Malah jika kita berjaya mencapai usia yang sepanjang itu pun sudah dikira beruntung kerana ramai juga yang telah menemui ajal sebelum mencecah umur 50 tahun pun.



Sekalipun berjaya mencecah usia 63 tahun, tempoh itu masih dikira terlalu singkat berbanding jangka masa hidup di akhirat yang kekal abdi (infiniti).


Sebagai perbandingan, al-Quran ada menyatakan bahawa 1 hari di akhirat adalah sama dengan 1000 tahun di dunia.   Bayangkan.......  Ini bererti jika kita berjaya hidup selama 63 tahun, maka itu sama dengan 1 1/2 jam sahaja hidup di akhirat.  Sangat singkat.



Rasa yang terlalu singkat ini tidak akan kita rasai hakikatnya di dunia ini, tetapi di akhirat nanti pasti kita akan merasainya.   Firman Allah yang menjelaskan hakikat itu berbunyi, yang bermaksud:



"Dan (ingatlah) masa tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak) dengan keadaan  mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja daripada waktu siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.  Sesungguhnya rugilaha orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia)."




(Surah Yunus 10:45).





Modal Perniagaan Yang Ditawarkan Allah



Walaupun singkat, tetapi hidup di dunia (tidak kira berapa sekalipun usia kita)  adalah sangat kritikal untuk menentukan bahagia atau celakanya hidup kita di akhirat.  Justeru, usia yang hanya 1 1/2  jam ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.  Sebenarnya, usia kita di dunia ini adalah tempoh kita "berniaga" dengan perniagaan yang ditawarkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya.   Perniagaan itu dinyatakan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:


"Wahai orang yang beriman!   Sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?  Yakni kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu.  Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."


(Surah al_Shaff 61:10-11).



Itulah perniagaan kita yang ditawarkan oleh Allah untuk manusia dan umur kita ialah modalnya.  Dengan adanya umur, kita boleh menyahut tawaran Allah itu.



Tanpa umur, segala tawaran yang besar daripada Allah akan tertutup.   Apabila kematian datang, pintu taubat dan peluang beramal ibadah telah tamat.  Pada hal setiap yang hidup akan bertemu dangan PenciptaNya.  Dan bekalan untuk bertemu Allah ialah amal soleh dan keyakinan yang mantap kepadaNya.



Firman Allah yang bermaksud:


"Sesiapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah ia mempersekutu dengan seseorangpun dalam ibadat kepada Tuhannya."



(Surah al-Kahfi 9:110)



Umpama Duduk Di Dewan Peperiksaan



Umur sesingkat 1 1/2 jam (ukuran akhirat) ketika hidup di dunia ini samalah dengan tempoh masa yang diberikan untuk menjawab satu kertas soalan peperiksaan di sekolah.


Oleh yang demikian, hidup di dunia  bolehlah diumpamakan seperti menduduki satu ujian  di dalam dewan peperiksaan.


Justeru, selain daripada perniagaan (istilah yang digunakan  Allah dalam surah al-shaff ayat 10-11 tadi), Allah juga telah menjelaskan bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menghadapi ujian, Firman Allah:



"Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Muluk 67:2).



Sekarang mari kita bertanya diri masing-masing, bagaimanakah sikap seorang yang sedang  berniaga?.  Ya, peniaga yang baik mestilah seorang yang sanga berhemat dan berjimat dengan modalnya.  Dia akan berusaha supaya modal  yang sedikit itu digunakan secara tepat dan bijaksana untuk menjana keuntungan yang berganda.  Dia tidak akan menggunakan modal bagi aktiviti yang tidak menguntungkan.  Setiap sen dicatat dan dikira dalam akaun perniagaannya.



Bukan itu sahaja, pada setiap hari, minggu, bulan dan tahun dia akan melakukan  proses timbang  duga untuk mengetahui keseimbangan antara kedudukan kredit dan debitnya.  Apakah dia untung atau rugi?.



Dam bagaimana sikap pelajar yang menduduki peperiksaan? Apakah dia akan berbual-bual, tidur dan mengelamun? Tidak.  Pelajar itu akan mengunakan masa yang diberikan dengan begitu cermat sebaik sahaja dia dibenarkan  membuka kertas soalan.  Lepas satu, satu soalan  diteliti dengan berhati-hati.  Begitu jitu.  Sangat terperinci.  Sekejap-sekejap dia menoleh jam, apakah masa yang ada masih mencukupi?  Jika dirasakannya sudah kesuntukan waktu, dia akan mempercepatkan proses berfikir.  Dia melajukan gerakan tangan menulis jawapan.  Jika soalan sudah habis dijawab dan masa masih ada, dia tidak akan  membuang masa bahkan akan terus menyemak semula jawapannya.  Apakah sudah tepat atau memerlukan pembetulan?.



Maka begitulah sewajarnya sikap hamba allah ketika hidup di dunia.  Dia hakikatnya sedang berniaga dan sedang menduduki peperiksaaan.



Jika manusia menyedari hakikat ini masakan mereka tergamak mensia-siakan waktu.  Walaupun kita tidak tahu bilakah tempoh usia akan tamat, tetapi kita sepatutunya menyedari bahawa semakin lama kita hidup maka semakin pendeklah baki usia yang masih tinggl.




Bukankah hari kita gunakan jumlah masa dalam tempoh usia yang telah ditetapkan di alam rahim itu?



Manusia Dungu vs Manusia Bijak



Alangkah dungunya manusia yang mensia-siakan umurnya.



Apakah kita tidak pelik kalau melihat peniaga yang asyik tidur di premis perniagaannya?  Atau seorang pelajar yang termening kosong semasa berada di dalam dewan peperiksaan?  Tanpa ragu-ragu lagi kta akan merasakan bahawa peniaga itu pasti rugi, pelajar itu mesti gagal.  Maka begitulah keadaan manusia yang membazirkan usianya dalam perkara dosa dan amalan yang sia-sia.  dia pasti rugi dan gagal.


Allah mengingatkan:


"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dalam perkara kebenaran dan berpesan-pesan dalam perkara kesabaran"




Inilah juga hakikat yang diungkap oleh Imam al-Shafie dalam syairnya:



Sangat aneh melihat mansa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh sikap manusia yang melalaikanya."



Sebaliknya, alangkah cerdiknya manusia yang menggunakan usianya secara opimum dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan kebajikan.  Inilah holongan manusia yang paling bijak seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah saw menerusi sabdanya yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar:



"Aku bersama dengan Rasulullah.  Kemudiannya datang kepadanya seorang lelaki daripada kalangan ansar dan memberi salam ke atas Nabi saw kemudain berkata: 'Wahai Rasulullah, siapakah Mukmin yang terbaik?'  Nabi menjawab: 'Mereka yang paling baik akhlaknya.'  Dia bertanya lagi, 'Maka siapakah Mukmin yang paling bijak?'  Nabi menjawab: 'Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang yerbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu.  Itulah orang yang paling bijak.'"





(Riwayat al-Baihaqi no.10550).




Tidak syak lagi, orang yang bijak ialah orang yang mengingati mati akan terus membuat persiapan bukan sahaja untuk hidup sebelum mati, tetapi juga untuk hidup setelah mati.



Merekalah orang yang sangat prihatin dengan penggunaan masa dan sentiasa memanfaatkan ruang untuk melaksanakan kebaikan sebanyak-banyaknya.




Mereka ini terdorong oleh ayat al-Quran yang bermaksud:  "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada tuhan kamu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa."



(Surah ali 'Imran 3: 133).




Sehubungan itu Abdullah bin Mas'ud pernah berkata:


"Aku tidak pernah menyesali sesuatu seperti penyesalanku ketika matahari telah terbenam, yang saat itu umurku berkurang, namun amalku tidah bertambah."




Ulama-ulama yang terkenal dengan ketaqwaannya seperti Imam al-Nawawi contohnya, meninggal dunia dalam usia yang sangat muda yakni kra-kira 45 tahun tetapi jasanya amat besar berbanding umurnya yang singkat.    Pembebas kota Constantinole Sultan Muhammad al-Fateh, umurnya 48 tahun.  Imam Hasan al-Banna pula syahid sewaktu berusia 48 tahun.   Namun kaedah serta aspirasi perjuangannya melalui Jemaah Ikhwanul Muslimin sehingga sekarang mempunyai pengaruh yang besar dalam mana-mana harakah Islam di seluruh dunia.




Begitu juga Imam al-Syafie yang meninggal dunia sewaktu berusia 54 tahun tetapi jasanya terus hidup melangkaui zaman.   Begitu juga dikalangan ulamak seperti Umar Ibn Aziz, yang begitu pendek usianya dan pendek pula tempoh pemerintahannya tetapi kehebatannya mengatasi mana-mana diktator dunia yang memerintah seolah-olah hendak menongkat dunia!.



Ya, usia umpama harta...bukan banyaknya yang menjadi perhintungan tetapi keberkatannya.  Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan,.  Begitu juga usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpahkan kebaktian.




Jangan jadi seperti orang Yahudi, yang mengharap umur panjang kerana kerakusannya menikmati dunia.





Allah menerangkan sikap mereka ini melalui firmanNya yang bermaksud:



"Dan sungguh kamu akan mendapati mereka manusia paling tamak kepada kehidupan di dunia bahkan lebih tamak daripada orang Musyrik.  Masing-masing merka ingin supaya diberu umur seribu tahun, padahal umur yang panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa.   Allaj Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."



(Surah al-Baqarah 2: 96).


By: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi (Majalah Solusi 24)

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...