Thursday, June 5, 2014

BERDENDAM?.....EUWWW NO BABE!


JANGAN JADI PENDENDAM






*Pesanan Untuk Anak-Anak Remaja Bertuah......*












Mungkin ada masanya rakan karib atau orang tersayang menyakiti hati kamu dan pada masa sama kamu memikirkan hal itu dan menganggap ia sesuatu yang sangat serius lalu berdendam pada pelaku.


Namun, berdendam sebenarnya tidak elok kerana sifat negatif itu boleh merosakan hubungan antara rakan yang sudah terjalin sekian lama.


Gen Y ingin kamu jauhi perasaan dendam dan belajar memaafkan.



Terima Seadanya


Walaupun kritikan itu jelas menyakiti dan menyinggung perasaan kamu, namun jangan anggap ia terlalu serius, tapi belajar menerima seadanya.


Daripada memikirkan perkara negatif yang berlaku pada kamu, apa kata kamu fikirkan yang positif dan cuba fikir adakah perlakuan rakan kamu disebabkan sifat dia yang ingin kamu disakiti atau ada salah faham yang timbul  antara kamu.






Terus Tabah


Pada ketika ini kamu harus tabah walau apa pun tohmahan dilemparkan pada kamu.


Mungkin kamu tidak berkesempatan untuk menanyakan apakah masalah yang menjadi punca mereka bertindak demikian.


Sewaktu dikecam dan dicaci, biarkan saja mereka meluahkan rasa tidak puas hati itu.


Apabila suasana menjadi tenang, kemudian kamu boleh berfikir dengan rasional untuk tindakan selanjutnya.







Biarkan Masa Berlalu


Mungkin pada masa ini kamu tidak dapat terima kenyataan mengapa mereka berbuat demikian pada kamu.


Oleh itu, biarkan waktu berlalu dan kamu harus tabah menerima seadanya.


Tenangkan fikiran dan berfikir positif untuk mengelakkan masalah mental menguasai diri kamu.


Seeloknya lakukan perkara yang positif yang dapat menghilangkan tekanan itu buat sementara waktu.





Minta Bantuan Ibu Bapa


Jika kamu masih tidak dapat berfikir secara rasional, apa kata dapatkan pertolongan dari ibu bapa untuk mengatasi tekanan kamu itu.


Minta pendapat mereka bagaimana kamu boleh hilangkan rasa dendam dan belajar berfikir positif pada orang lain.


Ingat, mungkin hari ini kamu disakiti, tapi pada hari lain mungkin mereka pula yang akan disakiti.


Luahkan saja pada ibu bapa tentang apa kamu rasa agar rasa sakit hati itu boleh terubat.





Belajar Memaafkan


Selepas semua itu berlalu, kamu harus teruskan hidup seperti biasa dan belajar memaafkan mereka yang kerap menyakiti kamu.


Mungkin sukar kerana kata-kata mereka membuat kamu tersinggung tapi jika kamu hargai hubungan  yang sudah terjalin, jangan teragak-agak untuk memaafkan mereka ataupun kamu sendiri mendekati mereka dan berbincang mengenai hal ini untuk keselesaan bersama.

-by Suhada Mansor, HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...