Saturday, November 9, 2013

KULIT HALUS, CANTIK DAN BERSIH









KULITNYA yang cantik, halus dan putih bersih tanpa secalit noda menjadi perhatian mata yang memandang. Apabila ketawa atau malu, serta-merta pipinya bertukar kemerah- merahan sekalipun tidak mengenakan pemerah pipi.




Beruntunglah wanita yang memiliki kulit wajah cantik tanpa cela mahupun masalah. Tanpa perlu bersolek tebal, kejelitaan semula jadi terserlah hinggakan ramai menyangka dia lebih muda daripada usia sebenar.




Namun, tidak ramai di kalangan kita memiliki kulit sihat dan cantik. Meneruskan gaya hidup kurang sihat dan tidak tahu cara betul dalam penjagaan kulit wajah dan tubuh menyebabkan impian memiliki kulit cantik dan melambatkan proses penuaan cuma tinggal angan-angan.






Jika wajah anda lebih muda daripada usia sebenar, ia dianggap bonus. Andai wajah bersesuaian dengan usia, ia masih boleh diterima tetapi sungguh mengecewakan apabila orang mengandaikan usia anda lebih tua disebabkan wajah yang cepat dimamah usia.




Kebanyakan wanita Asia memiliki kulit berminyak yang mudah mengundang jerawat. Kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang itu bukan saja mencacatkan wajah, malah menimbulkan parut yang lambat pudar hingga terpaksa ditutup dengan solekan tebal.




Bagi mereka yang memiliki kulit kering, masalah lain pula timbul. Walaupun tiada masalah jerawat atau tona kulit tidak sekata, kulit kering mudah kusam, berkedut atau jeragat jika tidak dijaga dengan baik.




Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu, berkata penting untuk kita mengetahui beberapa perkara yang menjadi asas dalam usaha memastikan kulit sihat dan cantik serta melengahkan proses penuaan.




Menurutnya, kulit berminyak akibat pengeluaran sebum secara berlebihan yang menjadi punca jerawat. Jerawat masalah biasa dialami, terutama di kalangan remaja yang akhir baligh, akibat perubahan hormon tubuh.




“Kulit wajah umpama belon. Ketika usia muda, ia dipenuhi udara. Apabila usia semakin tua, kulit umpama belon yang tiada angin, kendur atau hilang ketegangan.




“Ramai wanita prihatin dengan penjagaan kulit wajah dan tubuh. Jika boleh, mereka mahu kelihatan awet muda dan berusaha melambatkan proses penuaan,” katanya.





Ini berbeza dengan golongan remaja yang kurang mengambil berat penjagaan diri, kecuali dinasihatkan ibu bapa supaya berbuat demikian.










No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...