Monday, March 3, 2014

BANYAK BERGERAK HIDUP SIHAT











Suka benar penulis melihat warga emas bersenam, sama ada berjogging, berjalan cepat atau menyertai mana-mana acara senamrobik terbuka di taman.



Malah semangat untuk mengikut jejak langkah mereka semakin berkobar-kobar apabila seorang wanita yang usianya hampir mencecah 70 tahun memberi kata-kata perangsang apabila melihat penulis jalan sendirian mengelilingi taman perumahan.




Walaupun kesedaran mengenai pentingnya senaman dalam pernjagaan kesihatan secara umumnya semakin meningkat, masih ada yang lebih rela bersenang-senang di rumah daripada menjadikan aktiviti kecergasan semudah berjalan sebagai agenda harian.  Memang ramai yang sudah tahu tetapi masih tidah mahu mengambil 'ubat percuma' ini untuk mencegah penyakit.




Malah bagi golongan yang sudah menghidap penyakit gaya hidup, senaman juga menjadi antara ubat paling mujarab dalam mengawal penyakit mereka.




Memang diakui bersenam itu susah jika penyakit "M"  (malas) bersarang dalam hati.  Namun apabila dicuba, anda akan dapati ia tidaklah sesusah mana kerana senaman boleh dilakukan di mana saja dan pada bila-bila masa mengikut kemampuan masing-masing.




Gaya hidup sedentari (kurang aktif atau tidk banyak bergerak) yang kita amalkan kini perlu dihentikan segera terutama dalam kalangan warga emas.




Kajian mendapati terlalu banyak duduk boleh mendekatkan kita kepada pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung.  Namun kajian terbaru menunjukkan terlalu banyak duduk juga meningkatkan kemungkinan seseorang itu hilang keupayaan khususnya pada warga emas berusia 60 tahun ke atas.




Menurut Ketua Penyelidik, Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Perubatan Feinberg Universiti Northwestern, Dorothy Dunlop, gaya hidup sedentari adalah satu daripada faktor risiko untuk kehilangan keupayaan diri.




Dalam kajian itu, Dunlop menjalankan penilaian ke atas tabiat senaman ke atas lebih 2,000 lelaki dan wanita berumur 60 tahun ke atas serta melihat kemampuan mereka melakukan aktiviti harian.




"Tidak kira berapa banyak pun masa yang diperuntukkan bagi melakukan aktiviti fizikal (senaman) tetapi jika sebahagian besar masa dihabiskan secara tidak aktif, semakin tinggilah kemungkinan untuk mengalami ketidakupayaan diri," katanya.




Bagaimanapun, ada pakar lain melihat kaitan ini dalam perspektif berlawanan lebih teruk kehilangan keupayaan diri yang dialami seseorang itu semakin kuranglah dia melakukan senaman kerana sukar bergerak.




Dunlop dan rakan Penyelidik menganalisis maklum balas yang diberikan dalam Soal Selidik Kesihatan dan Ujian Pemakanan Kebangsaan.  Wanita dan Lelaki yang disoal selidik diberikan alat khas untuk mengukur aktiviti mereka sekurang-kurangnya selama empat hari antara 2002 hingga 2004

.


"Hanya sebilangan kecil iaitu enam peratus yang berjaya mencapai saranan bersenam selama 5 jam seminggu," kata Dunlop.




Secara purata, lelaki dan wanita warga emas menghabiskan masa sembilan jam sehari secara tidak aktif selepas bangun daripada tidur dan empat peratus dilaporkan sudah mengalami ketidakupayaan diri.




Ketidakupayaan diri yang dibincangkan di sini merujuk kepada kesukaran atau tidak mampu melakukan aktiviti harian seperti bangun dari katil, memakai pakaian dan berjalan.



Penyelidik mendapati bagi pertambahan setiap jam dalam keadaan sedentari, kebarangkalian untuk kehilangan keupayaan diri meningkat sebanyak 50 peratus.  Contohnya, bagi wanita berusia 65 tahun yang tidak aktif selama 13 jam sehari, dia mempunyai risiko 50 peratus untuk hilang keupayaan diri berbanding wanita yang tidak aktif selama 12 jam.



Adakah duduk terlalu lama juga dikira boleh meningkatkan risiko ini?



Walaupun Dunlop tidak dapat memberikan jawapan pasti, pakar beranggapan duduk yang terlalu lama boleh menyebabkan aliran darah menjadi perlahan dan otot kurang membakar lemak.  Keadaan ini boleh menyumbang kepada  tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kaki menjadi bengkak dan kencing manis.



Namun Pakar Epidemiologi Keluarga dan Perubatan Pencegahan di Fakulti Perubatan San Diego, Universiti California, Andrea LaCroix berkata, beliau mendapati jika seseorang hilang keupayaan diri, maka kehidupan individu itu akan jadi sedentari kerana tidak boleh bersenam.



Ini kerana kajian yang dilakukan dalam analisis Dunlop itu terlalu terhad yang hanya mengukur keaktifan peserta selama empat hari dalam tempuh beberapa tahun.



Katanya, kajian akan jadi lebih baik jika aktiviti peserta diukur dari semasa ke semasa.



Walau apapun, kita sudah maklum gaya hidup sedentari memang bukan pilihan yang baik.



Dunlop berkata, gaya hidup sedentari tetap akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan seseorang tidak kira berapa jam diluangkan untuk bersenam.



Namun dia tidak menolak kepentingan senaman, cuma menasihatkan masyarakat khususnya warga emas supaya kekal aktif sepanjang hari dan jika ia sukar dilakukan, cubalah cari aktiviti untuk mengurangkan tempoh duduk tanpa berbuat apa-apa.



Mungkin ada tertanya-tanya apa yang boleh dilakukan untuk menambah pergerakan sepanjang hari?




Banyak senarai dibawah mungkin boleh memberi sedikit ilham untuk anda kekal aktif.




0  Berdiri dan berjalan-jalan keitka bercakap di telefon.



0  Meletakkan kereta jauh sedikit dari pintu masuk apabila pergi ke kedai, pasar atau masjid.



0  Kurangkan duduk di depan televisyen.  Menonton televisyen itu tidak salah, tetapi jangan jadi 'sayur lembik' sepanjang rancangan kegemaran anda ditayangkan.  Buatlah apa-apa pergerakkan ketika iklan seperti berjalan setempat atau pergi ke dapur mengambil air minuman.




0   Jika kedai berhampiran dengan rumah, berjalanlah ke kedai.



0   Jika mampu, gunakan tangga.  Senaman turun naik tangga ini akan membantu menguatkan tulang belakang.



0   Mengemas dan membersihkan rumah.



0   Berkebun atau membersihkan halaman.



0   Bagi umat islam, pergerakan sepanjang hari boleh ditingkatkan dengan menunaikan ibadat solat wajib dan sunat.



0   Cubalah berusaha supaya kita sentiasa berada dalam keadaan berwuduk.  Jika terbatal, ambillah wuduk semula.  Ia bukan saja akan menambah pergerakan, malah membuatkan kita sentiasa berada dalam keadaan suci dan rasa lebih selesa untuk melakukan apa saja ibadat.



Warga Emas perlu bersenam seperti berjalan kaki supaya tidak hilang keupayaan diri.



By : Norlaili Hamima jamaluddin

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...