Saturday, June 16, 2012

MISTIK ITU CINTA?







Salam kekayaan

Thank you Ya Allah kerana saya sihat dan gembira hari ini.  Terima kasih.


Bila Dia jatuh Cinta Lagi

Cinta 1
"Kak, suami aku ada di rumah tu..."

"Tak kerja ke...."

"Dah seminggu dah macam tu....menangis, pagi petang siang malam"

"Aik....macam orang putus cinta aje...azmi putus cinta ke?"

"Aaah...........aku nak cakap dengan akak pun aku malu kak, perempuan simpanan dia lari balik kampung dan tak dapat dihubungi.  Azmi kata dia separuh mati kerana ditinggalkan perempuan itu.  Kalau aku bising-dia ancam nak bunuh diri"

"Pelik sungguh suami kau ni.  Luarbiasa cinta ni, jangan-jangan ini cinta berbaur noda kot"

"Aku rasa pun macam itu juga kak.  Dah puas aku berubat, tapi azmi cari perempuan tu jugak Nak ditinggalkan aku tak sampai hati, sejak kenal perempuan tu azmi makin teruk dah tak sembahyang langsung"

Tiba-tiba message masuk

"Kak tengok ni....."

Msg diterima:
Puaslah hati kau sekarang.  Kalau laki kau mati taulah nasib kau.  Berdosa tau menghalang orang yang hendak mendirikan masjid untuk mengelakkan dari zina!"

"Kau tulis text kakak karang"

jawab msg
Tapi kau bina masjid dari batu bata runtuhan masjid aku. Kau contoh tak baik bagi suami aku.  Sejak kenal kau suami aku tak sembahyang langsung.

Msg diterima:
Bodoh, laki kau kata dia tak suka kau lagi kerana  bla.....bla.......bla

Tak payah layan orang yang tak cerdik ini.

Kalau ada masalah macam ini nenek selalu syorkan mereka agar bangun tengah malam dekat dinihari bersembahyang hajat selama tiga hari berturut-turut dan keesokkan harinya berpuasa.  Dalam rumah mesti tak putus dengan air yassin.

Hanya Allah sebaik-baik pelindung.

Setiap kesakitan yang kita rasa kita dapat pahala dan menghapuskan dosa-dosa.

Berkat kesabarannya akhirnya cinta gila ini berakhir setelah 3 tahun bersabar

"Suami aku dah tak tinggal sembahyang  kakak" katanya dengan wajah yang berseri-seri.


Cinta 2

"Kak,  saya tunggu perintah mahkamah je nak sahkan cerai"

"Ya Allah girl, kenapa sampai begitu sekali"

"Suami aku gilakan perempuan itu kak.  Perempuan itu sangat agresif dan berani telefon aku beritahu apa yang dia buat dengan suami aku.  Bila aku tanya  suami dia tak mengaku.  Emak perempuan tu tanya aku bila aku nak bercerai dan tak malukah aku bersuamikan lelaki yang sudah tak nak aku lagi"

Dia menitiskan air mata.

"Kau nak lagi ke dengan laki kau ni?"

"Aku sayang"

"Okey, jika kau masih sayangkan lagi suami kau kau mesti berubah.  Setiap hari mesti jadikan mentera dengan penuh keyakinan ucapkan berulang kali "aku sayang keluarga aku, suamiku sayangkan aku dan anak-anakku".  Dan rajinlah bangun setiap malam melakukan sembahyang hajat dan tahajjud.  Jika kita tunjukkan kesungguhan kita semoga Allah memberkati kita.

Tapi jika ditakdirkan jodoh kau setakat ini kau harus redha.

Allah sebaik-baik pelindung.

Setahun kemudian dia datang berjumpa nenek dengan perut yang memboyot.  Dia memeluk nenek dengan titisan air mata.

"Ini anak bertuah kakak"  katanya tersenyum manis.


Cinta  3

"Ain nak ikut tak"

"Pergi mana"

"Akak nak pergi berubat.  Marilah datang tengok, nanti jika ada orang yang bermasalah macam akak kau tau di mana nak dituju"

Kami pun mengambil teksi dan pergi ke Greenwood.

Ceritanya suaminya telah jatuh cinta dengan seorang tukang cuci indon di pejabatnya.

Mula-mula mendapat cerita ini dahulu dia dan anak gadisnya telah pergi mencari perempuan tersebut dan menyerang perempuan itu.

Perempaun itu membalas dendam dan suaminya kini dalam genggamannya.  Setiap bulan suaminya mengirimkan duit sebanyak RM450.00 ke indonesia untuk perbelanjaan anak perempuan tersebut.  Dia jumpa resit transfer duit dalam poket seluar suaminya. Apabila ditanya suaminya mengaku dan apa rasionalnya menghantar duit tersebut, jawab suaminya kerana perempuan itu suruh.

Sekarang mereka sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak ketika suaminya berusia 56 tahun  Semua duit EPF dan gratuity  persaraan sebanyak RM200,000.00 habis.  Dia cuma diberikan RM1,000.00 oleh suaminya.

"Aku biarkan sahaja dan segala hakku tuntut di akhirat nanti"

Nenek melihat kesedihan itu dimatanya yang cantik berwarna  keperangan.  Nenek berfikir apa yang lelaki berusia 56 tahun nampak dalam diri perempuan yang lagi satu yang berumur 49 tahun lebih tua 6 tahun dari isteri pertama.

Pagal   ( gila ).

Cinta  4

"Ain, suami aku jatuh cinta lagi dengan anak dara tua gemuk di pejabatnya dan kami dalam proses bercerai"

"Awak sayang suami awak lagi"

"Sayang tapi  masa kaunselor tanya kenapa nak bercerai dia kata aku tak pandai jaga dia dan aku tak pandai masak"

"Whoa, lembik benar alasannya"

"Itulah, aku rasa nak cerai ajelah.  Nak ajar dia biar dia rasa macamana perempuan tu pulak jaga dia"

"Okey, kalau kau nak bercerai kita boleh buat dia papa kedana"

So mereka pun bercerai.

Dia datang ke kedai dengan senyum manisnys.

"Selepas bercerai tu dia datang jumpa aku dan hampir-hampir menyembah aku kerana sebulan selepas bercerai segala tuntutan aku di potong dari gajinya sebanyak RM1,800.00 melalui potongan gaji.  Dia kata aku nak bagi dia makan pasir ke.  Aku cakap kalau aku boleh buat dia papa kedana aku akan buat.  Semasa jadi isteri dia pun aku tak dapat elaun sebanyak itu"

"Kau tau ain, selepas tu ada masalah lain pulak.  Suami aku hari-hari datang ke rumah.  Aku malu dengan jiran-jiran kerana mereka tau aku dah bercerai."

"Apa alasan dia datang ke rumah?"

"Nak tumpang sembahyanglah sebab dia lalu depan rumah aku, nak tunggu anak balik dari sekolahlah, nak makan dengan anak-anaklah.  Dia rindukan masakan akulah katanya sebab perempuan tu tak pandai masak"

Tak tahu entah macamana akhirnya mereka rujuk kembali.

Alhamdulillah.


Cinta  5

"Ain, kau nampak budak lelaki kat kedai depan tu, handsome kan"

"Haah"

"Itulah boyfriend aku"

Menyirap darah nenek, sudah ada anak lima masih berboyfriend lagi.

Esoknya nenek tanda pukul berapa budak lelaki tu datang dengan myvinya dan pukul berapa pula dia keluar dari kawasan rumah kami.  Sah dia dah berkubang macam babi tunggal kat rumah perempuan tu. Dan masa itu semua orang tau suaminya outstation selama 2 minggu.  Anak-anaknya sama bersyubahat dengan ibu mereka.

Nenek nampak dia keluar dan memanggil dia ke kedai nenek.

"Macamana boyfriend muda"

"Dahsyat"

"Ingat sikit, kau jadi cantik-cantik macam ini siapa yang jaga kau.  Beras yang kau makan dan pakaian yang kau pakai itu suami kau yang sediakan.  Jangan bakar jambatan nanti tak mati-mati kelemasan dalam api neraka."

Ini saja cara yang nenek rasa dapat menegurnya.

"Jangan datang kedai aku lagi"  Nenek menyombong.

Ngeri aku dengan orang yang kebocoran aura begini.

kisah 6

Kita tak tau dia anak kesayangan emak sehinggalah hari perkahwinan.

Semuanya emak dia tentukan.

 Dia juga jika balik ke rumah kita tidak makan masakan emak kita.

Jika dipanggil oleh emaknya untuk kemana-mana sahaja kita akan ditinggalkan.  Bayangkan kita hilang suami 2 hari dan apabila dicari suami kita berada di Dubai shopping dengan emaknya.  Ditanya kenapa tak ajak kita, alasannya emaknya tak suka.  Begitu juga jika dia hilang, apabila dicari dia berada di Bangkok, Saudi Arabia Kazakhstan even pergi haji, kita ditinggalkan.

Setelah berbelas tahun kita redha jika ini ketentuan illahi tapi sesiapa aniaya aku Ya Allah aku tidak akan lepaskan di dunia maupun di akhirat doanya setiap masa untuk mengubat hati yang lara.

Sehinggalah suatu hari dia baru pulang dari melawat emaknya dan dia tidak dapat membuka kunci rumah dan barang-barangnya banyak di luar rumah.

Apabila diamati dia dapati kunci rumah telah ditukar.  Dia cuba menghubungi suaminya tetapi tidak dijawab.

Dengan linangan airmata dia ke rumah ibu saudaranya.  Mereka cuba menyelesaikan masalah ini tetapi suaminya hilang dari dunia ini tidak dapat dikesan.

Memahami masalahnya dia dinasihatkan bercerai tetapi dia nekad dia masih sayangkan suaminya.  Jika dia masih sayangkan suaminya marilah kita berjumpa dengan seseorang yang pandai dalam masalah yang sebegini.

Sebaik sahaja orang tua itu memegang kepalanya, dia sudak terbatuk-batuk dan muntah tidak berhenti-henti.  Apa yang keluar ialah air pekat yang berbau busuk dan butiran nasi. Dia terus muntah seakan-akan hampir putus nyawa.

"Kenapa sebegini teruk baru datang berubat" tuk mengelengkan kepala.

"Kita tak tau pun dia ada penyakit macam ini sebab tak ada tanda pun"

"Yang keluar itu adalah benda-benda sihir yang diberi makan.  Kalau orang lain dah mati dah, tapi budak ini baik, Allah lindungi dia.  Dia ambil barang kesayangan orang dan orang ini nak dia mati"

Seminggu kemudian dia mendapat berita yang ibu mentuanya di masukkan ke hospital kerana serangan strok yang teruk dan dua minggu selepas itu dia meninggal dunia.

"Aku pulangkan balik, jangan beritau dia kerana dia budak baik dia tak akan bersetuju dan orang itu sangat jahat dia dapat apa yang diniatkannya, ini saja cara nak selamatkan budak ini"


Cinta 7


Suaminya mengila hendak berkahwin lagi satu.

Bosan dia izinkan sahaja.

"Macamana isteri baru?"

"Kenapa tak sama ye, dengan awak dulu lagi hebat, kenapa dia lain"

Dia terkedu.

Dia gelak dalam hari, rasakan penangan orang tua macamana.

Selepas 2 minggu berkahwin dia hendak menceraikan isteri mudanya.

"Kenapa?"

"Masa bercinta dulu abang tengok dia sungguh mengiurkan, tetapi selepas berkahwin, rasa lainlah pulak, dia semua nak menang, bercakap dengan abang pun dah kurang lemah lembutnya" adunya.

Kasihan suamiku.

Dia pergi berjumpa dengan isteri muda.  Apa yang dia dapat hanya sindiran dan maki hamun.  Balik dia sangat marah dengan suaminya.

"Kenapa perempuan macam itu abang jadikan madu aku, tak ade budi bahasa langsung!"

Sejak itu suaminya tidak tenteram, balik dari rumah isteri muda mesti termenung sana, termenung sini.

Dalam hatinya dia amat kasihan dengan suaminya, tapi apa boleh buat dia yang jatuh cinta lagi.


Cinta 8


Dia lelaki popular.  Sedangkan dia biasa-biasa sahaja.  Sampai bilakah Amirul akan nampak dia?.  Dia mesti melakukan sesuatu agar Amirul nampak dia lebih dari orang lain.

Dia berjumpa dukun.

"Anggaplah awak tak ade jodoh dengan dia ni.  Dia bukan jodoh awak.  Dia sudah ada seseorang di dalam hatinya"

Dia berkeras juga.

"Aku tak boleh berfungsi tanpa dia, aku mesti kahwin dengan dia"

"Aku boleh tolong buatkan tetapi  jodoh kau tak panjang, dapat anak ke dua kau pasti ditinggalkan"

"Aku akan pastikan aku tidak akan ada anak ke dua"

Mereka pun berkahwin dan hidup berbahagia.  Amirul bertuah memperisterikannya yang begitu penuh dengan kasih sayang.

Setelah berkahwin selama 4 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 3 tahun, tiba-tiba Amirul menghilangkan diri.

Puas dia mencari keseluruh Malaysia, Indonesia, Amerika dan di mana jua di dunia yang ada saudara maranya, namun Amirul seolah-olah hilang dari muka bumi ini.  Dia pergi tanpa pesan.

Setelah 3 bulan ditinggalkan dia dapati dia mengandung 3 bulan
.
Dia pergi berjumpa dengan seseorang yang arif di dalam hal ini.

"Jangan dicari lagi.  Tempoh kau telah tamat.  Kau kahwin dulu kau paksa dia mengahwini kau kan.  Dia tak ingat apa-apa pasal kau lagi. dia tak ingat anak dia, dia tak ingat  4 tahun bersama kau dan dia tak ingat jalan pulang"

Inilah akibat kalau bersuamikan ilmu.




No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...