Tuesday, June 12, 2012

Di sini ada hantu

Salam kekayaan

Kita mulakan hari kita dengan bersyukur ke hadrat Illah di atas segala limpah kurnianyaNya.  Terima kasih ya Allah di atas segala-galanya.

Kita mesti mendidik diri kita menjadi hamba yang disayanginya. Khazanah kekayaan itu Allah yang pegang.

Jika dunia luar kita tidak elok siapa hendak kita persalahkan?  Adakah hendak menyalahkan dunia luar? Kita patut salahkan paradigma kita.  Tidak ada siapa yang boleh mengubah paradigma kita melainkan diri kita sendiri.

Mulakan dengan fikiran, kerana fikiran membentuk emosi, emosi akan membentuk perkataan, perkataan akan membentuk perbuatan, perbuatan akan membentuk sikap, sikap membentuk personaliti, personaliti  menentukan destinasi dunia dan akhirat kita.

Jika kita hendak betulkan dunia luaran kita  maka betulkan dunia dalaman kita dahulu melalui pemikiran kita.  Pemikiran dan perasaan adalah dunia dalaman.  Tindakan dan hasilnya adalah dunia luaran.  Tindakan adalah jambatan di antara dunia dalaman dan dunia luaran kita.

Kebanyakkan manusia melakukan senaman fizikal mereka tetapi sebenarnya mereka perlu terlebih dahulu melakukan senaman minda untuk melawan nafsu.  Apabila kita berjaya melawan nafsu, insyaAllah hidup kita akan bahagia.

"Petikan dari buku CELIK MATA DAN JIWA-by .Prof Dr Muhaya MD. PhD"

Terima kasih Prof untuk buku yang bijak dan berjiwa besar ini.  Minta izin Prof nak kongsi dengan anak cucu saya.


Ini satu kisah benar yang dialami oleh keluarga nenek-'lek sekejap

Ayah nenek telah ditukarkan ke sebuah kampung di ulu sungai tembeling pada tahun akhir 1968an,.

Sebelum bertolak ke kampung tersebut kami telah diberitahu bagaimana untuk bergaul dengan orang-orang kampung dan profil orang-orang tertentu di kampung tersebut yang perlu kita tahu sebelum kita berkenalan dengan mereka agar nanti ayah sebagai seorang guru besar tidak terkejut dan tahu bagaimana untuk bijak mengawal situasi apabila berdepan dengan kerenah orang-orang tersebut.  Kerana jika tersalah langkah, guru-guru besar yang terdahulu diusir oleh orang kampung walaupun tanpa sebab yang menasabah.

Setelah berkenalan dengan semua orang kampung, tidak ada masalah. Mereka boleh datang ke rumah dan ke sekolah bila-bila masa mereka suka dan ibu pula sebagai bakal guru yang tidak sempat menamatkan penganjian kerana perang dunia ke 2 meletus dan jepun menawan Malaya, pandai mengambil hati orang kampung dengan kelas jahitan dan kelas masakannya.

Tiba-tiba abang Jo sakit.  Dalam keadaan sakit yang tidak diketahui sakitnya setelah puas keluar masuk hospital Jerantut, tiba-tiba dia merepek-repek dan meracau-racau mengatakan dia akan mati dan panggillah datuk penghulu ke rumah.

Apa kaitannya budak sakit merepek-repek dan datuk penghulu?  Mak dan ayah tertanya-tanya.

Malam itu emak mendapat mimpi.  Dalam mimpi emak seseorang telah datang ke rumah  dan memanggil emak untuk keluar  bercakap dengannya.

Dalam mimpi tersebut emak membuka pintu rumah dan melihat seorang lelaki berpakaian sepasang hitam siap dengan tanjaknya membawa parang yang diasah berkilat dan berkilau di tangan dengan muka yang garang dan bengis.

"Shamsiah, anakmu sangat jahat.  Habis semua ikan kesayangan aku dibunuhnya.  Rumah aku dikotorinya dengan air kencing kawan-kawannya.  Anak aku mati terkena air kencing  anak kau. Ikutkan hati aku. aku bunuh anakmu sekarang"

Tidak sempat mak menjawab dia ghaib dari pandangani dan mak terjaga dari tidur. Emak dapati dia berada di  muka pintu rumah yang terbuka dan tidak ada sesiapapun di hadapannya.

Keesokkan malamnya emak mendapat mimpi yang sama.  Dan orang tua tersebut mengancam membunuh abang.

:"Maafkanlah anak saya dia budak berumur 7 tahun.  Dia tak tahu kalau dia telah buat salah.  Maafkanlah anak saya.  Saya bayar gantirugi asal datuk lepaskan anak saya"

"Aku boleh maafkan anak kau kalau kau buat kenduri arwah dan bertahlil untuk anakku yang anak kau bunuh selama 3 hari berturut-turut dan ingatkan anak kau jangan dekati kawasan aku lagi"

Dia tiba-tiba menghilang dari pandangan emak. Dan seperti sebelumnya mak dapati dia berdiri di muka pintu yang terbuka dan tidak ada sesiapapun di hadapannya.

Ketika ini abang telah sebulan sakit dan tidak boleh makan.  Dia hanya minum air nasi sahaja.  Badannya tinggal tulang rangka  dan yang pasti doktor mengesahkan dia tidak sakit apa-apa melainkan kekurangan zat makanan. Doktor mengunakn motor boat datang seminggu sekali melawat kampung-kampung di ulu sungai tembeling di zaman itu.

Keesokkan harinya datuk penghulu dipanggil.

:"Jangan-jangan dia telah pergi bermain di kolam di tepi sungai tak.  Itu kawasan orang.  Sesiapa pun dari kampung ini tidak pergi ke sana kerana sangat kerasnya kawasan itu.  Ketika musim kemarau yang teruk air sungai kering sehingga ke paras buku lali tetapi air kolam tersebut tidak kering"

Itulah hubungannya dengan tok penghulu.

Kenduri dan tahlil pun dibuat selama 3 hari berturut-turut.

Malam tersebut emak mendapat mimpi lagi yang orang tua tersebut datang ke rumah.  Dengan wajah yang sayu dan sangat sedih dia memandang emak kemudian dia menundukkan mukanya dan terus ghaib begitu saja dari pandangan mata.  Sekali lagi di tengah-tengah malam itu emak dapati dia berdiri di mula pintu yang terbuka dan terpingga-pingga kehairannan kerana setahu mak dia tidur dan bagaimana dia boleh membuka pintu.

Apabila abang telah sihat kembali dia menceritakan dia telah pergi ke kolam tersebut untuk menangkap ikan.  Ikan-ikan di kolam tersebut sangat luarbiasa cantiknya.  Air kolam itu sangat sejuk dan jernih, jadi dia dan kawan-kawannya telah mandi manda dan menangkap ikan yang cantik berwarna-warni tersebut. Kerana tidak membawa bekas ikan, ikan-ikan itu semuanya telah mati kelemasan udara kerana tidak ada air dan mereka telah membuang ikan-ikan itu di dalam perjalanan pulang kerumah.

Setiap kali emak membuat majlis kesyukuran seperti tahlil dan bacaan yassin pasti  dia akan berpesan kepada Tok Imam untuk menghadiahkan sekali kepada 'mereka' yang telah pergi dari alam ghaib.

Sejak peristiwa itu kami semua telah dididik untuk mengenal pasti perkara-perkara seperti ini.  Jika ke hutan                   atau ke sungai ada disiplinnya. Hormatilah alam persekitaran kita.  Ikuti gerak hati. Bila bercakap. cakap yang elok-elok sahaja, bila berjalan, berjalanlah berhati-hati jangan sampai kita menyakiti sesiapa.  Kita berjiran dengan mereka.  Kita kongsi dunia yang sama tetapi alam kita berbeda.








No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...