Friday, May 17, 2013

SOMBONG JERUMUSKAN MANUSIA KEPADA KEHINAAN





EGO dan sombong antara penyakit hati yang sukar diubati.  Ia tidak dapat dirawat dengan ubat atau melalui pembedahan.  Sebaliknya, hanya iman yang boleh membentengi diri daripada penyakit hati ini.

Sifat ego dan sombong menyebabkan iblis dan syaitan terus tersesat serta menyesatkan.  Ini disebabkan keengganannya untuk sujud kepada Nabi Adam sebagaimana diperintahkan Allah.  FirmanNya pada ayat 34 surah AlBaqarah bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kepada Nabi Adam."  Lalu merela sekelian sujud melainkan iblis.  Ia enggan dan takbur dan jadilah ia daripada golongan yang kafir."

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri dan merendahkan orang lain, sebaliknya hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain.  Ini kerana semulia manusia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa.

Firman -Nya bermaksud:  ".....sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yg lebih keturunan atau bangsanya).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (surah AlHujurat ayat 13).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong."  Kemudian seseorang berkata "(Wahai Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus"  Baginda bersabda:  "Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia  menyukai keindahan, (dan    yang dimaksudkan dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain." Riwayat Muslim.

Sombong adalah sifat tercela dan ia amat dibenci Allah kerana boleh membawa manusia ke neraka, berbanding akhlak mulia adalah jalan ke syurga.   Terlalu banyak keburukan sifat sombong anntaranya  dibenci  serta dimurkai Allah dan Rasul.

Orang sombong tiada perasaan kasih sayang sesama saudara Mukmin sebagaimana dia mencintai diri sendiri.  Dia tidak terlepas daripada suka berdendam.  Percakapannya tidak boleh dipercayai, malah dia bukan pemberi nasihat yang baik.  Sombong boleh berlaku dalam berbagai situasi, misalnya dalam organisasi dan di tempat kerja.  Sifat ini sering menjadi masalah dalam urusan kerja seharian dan jika tidak dibendung, boleh menjadi barah yang merosakkan organisasi.

Ada orang sombong kerana menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia daripada orang lain kerana pangkat atau pengalaman kerja sehingga mereka terlalu riak dan merasakan terlalu pandai.

Penyakit ini jika tidak dirawat awal akan menjadi punca kepada masalah hati, fikiran, pertembungan idea yang tidak sihat dan akhirnya memberi kesan kepada kemerosotan prestasi kerja.

Ini kerana masing-masing berasa diri dan kualiti kerjanya sempurna sehingga tidak mahu menerima cadangan dan teguran orang lain.  Sebenarnya tidak guna kita berasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana semua itu milik Allah.

Kita hanya diberi pinjam menggunakan kurniaan itu dan sampai waktunya kita memulangkan kembali kepadaNya.  Justeru, penyakit hati ini mesti segera dirawat kerana ia bukan saja merosakkan organisasi, malah menjadi penghalang dalam mencapai kesempurnaan iman.

Sifat ini boleh mengubah kehidupan manusia daripada mulia kepada hina, malah kuat menjadi lemah. Tidak kira sama ada dia seorang jutawan, hartawan, berpangkat tinggi, pemimpin, bahkan sesiapa pun, jika menyombong diri akan menyebabkan keruntuhan iman.

Rawatan segera perlu dicari agar penyakit sombong tidak merebak dan antara pendekatan boleh digunakan ialah menginsafi dan memperbaiki diri daripada sifat ini.

Seseorang itu haruslah merenung asal kejadiannya dan destinasi terakhir bakal ditujui.  Dia harus ingat, asalnya daripada setitik air mani yang hina dan selepas menempuh kehidupan di dunia ini akan mati dan dikuburkan lalu menjadi mayat.

Nikmat Nya tidak boleh diukur dengan sesuatu kerana Allah sumber segala kurniaan dan yang memberi segala kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Amal seseorang daripada kamu tidak akan menjadikan dia selamat"  Mereka bertanya "Termasuk engkau wahai Rasulullah SAW?"  "Ya, aku juga.  Namun, Allah memenuhi dengan rahmatNya" (Riwayat AlBukhari).

Apa yang ada pada kita sangatlah kecil dan sedikit tidak layak untuk bermegah dan besar diri, malah kita hendaklah malu kerana sifat takbur itu milik Allah.  Dialah Al-Mutakkabir dan kita perlulah menisbahkan diri dengan segala sifat yang hina -Oleh Wan Jemizan Wan Deraman dan Ahmad Termizi Mohamed Din.

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...