Thursday, January 30, 2014

MENCARI RUMAH KEKAL ABADI








PINTU boleh dibuka dan ditutup.  Bila membuka pintu kerana mahu meninggalkan rumah, mata menoleh ke belakang berniat mahu memastikan ia terkunci.  Malah beberapa kali kita mencuba semula sama ada ia masih boleh dibuka.  Aneh, meskipun baru sekejap tadi kita tahu bahawa anak kunci rumah baru dicabut.




Pintu mahu dikatup, rumah mahu dikunci.  Barangkali ada sesuatu di dalam rumah menyebabkan kita mahu ia selamat.  Ada ketika kita masih terfikir 'berkuncikah rumah'?.




Perasaan was-was muncul dan boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak sepatutnya.  Bila pulang kita mencari-cari anak kunci daripada gugusan yang ada.  ada masanya sekali pilih tetapi acap kali berulangkali.




Dan selama bertahun-tahun ia begitu.




Ramai yang tidak mahu belajar bagaimana mahu membuka pintu dengan sekali memilih anak kunci.  Ia kelihatan tidak terlalu mustahak kerana akhirnya pintu akan terbuka.




Selain itu, ada masanya kita melihat pencarian anak kunci ini sebagai satu rutin yang mahu dilalui tanpa sebab.  Barangkali kerana rutinnya semenjak kita memegang anak kunci tersebut.




Pintu dan rumah tersebut milik kita.  Ada perjanjian dan hak milik.  Sekurang-kurangnya ketika hayat di dunia.  Namun sampai masa , apabila roh dan jasad bersatu kembali setelah berpisah dan mencari-cari rumah baru tetapi terhalang.  Ia bukan rumah biasa yang dikenali.
.




Hanya ada rumah kekal abadi namun kuncinya tiada di tanga.  Tuan rumah menyebut melalui  surah al-A'raaf ayat 40 yang bermaksud:




"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh  (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan pintu -pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-oang yang melakukan kesalahan."




Rumah kekal abadi sudah tersedia.




Kuncinya perlu dicari. Ia ada dalam diri.  Namun manusia tidak mahu belajar seumpama mencari satu anak kunci daripada segugus yang banyak.




Sikap Manusia




Hakikatnya, pintu rumah yang kekal abadi sudah tersedia dan ia dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah Shaad, ayat 49-50 yang bermaksud:




"Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang bertakwa benar-beanr (disediakan) tempat kembali yang baik (iaitu) syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka."




Rumah terdapat dalam pelbagai bentuk.  Pintu yang terpasang pada ruanganya sepadan dengan rumah yang dibina.  Ada pintu cermin, kayu jati, aluminium dan pelbagai lagi.   Ia mengikut kemampuan tuan punya rumah.  Namun fungsi pintu tetap seragam iaitu untuk keluar masuk.




Jika rumah itu ibarat diri, maka melalui pintu itulah diri mampu melihat dari dalam dan luar.  Namun, melihat sahaja tidak mencukupi.  Ia perlu dikatup kemas bila mahu meningalkan rumah dan mudah dibuka apabila pulang semula.




Tidak.  Kita tidak mahu menunggu unta memasuki lubang jarum untuk dibenarkan kembali ke rumah yang kekal abadi.  Ia sindirian daripada Allah SWT yang sangat menyesakkan dada bagi mereka yang mahu berfikir.  Malah sikap angkuh dan sombong manusia di dunia bakal menjadikan mereka begitu.




Pencarian




Hakikatnya, pencarian kunci kepada rumah kekal abadi tidaklah terlalu sukar.  Kaedahnya telah dinyatakan secara jelas.  Misalnya, jika kita teragak untuk mendiami rumah di syurga Firdaus, Allah SWT telah memberi garis panduannya  melalui surah al-Mu'minun ayat 1 hingga 11 yang bermaksud:




"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.  Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.  Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang isa-sia.  Dan mereka yang berusaha membersih hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesunguhnya mereka tidak tercela.  Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas."




"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.  Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.  Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.  Mereka akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya."




Bayangan keadaan rumah di sini sungguh mempesonakan.  Misalya, ia telah dinyatakan terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya.




Sesungguhnya setiap kali kita diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan, maka kita akan berkata, "inilah yang telah diberikan pada kami dahulu dan kami diberikan rezeki yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya)".





Malah pasangan kita di rumah yang kekal abadi yang sentiasa bersih suci serta tidak sekali-kali mempunyai perasaan cemburu, khianat dan dengki.  Ia kehidupan yang kekal selama-lamanya.




Begitulah.  Kunci rumah di sana hanyalah bayangan semata.Ia tidak perlu dipegang daripada segugus kunci yang banyak.



 
Kita tidak perlu menoleh ke belakang setiap kali meninggalkan rumah tersebut.  Saya fikir ia sentiasa terbuka dan terdedah dengan tiada sesiapa yang memperdulikan .  Masing-masing sudah mempunyai rumah sendiri yang terbaik.




Jumpa lagi minggu hadapan.  Moga damai di hati.




Penulis:

Ustaz Muhd Kamil adalah Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah.  Beliau merupakan penulis buku Travelog haji:  Mengubah Sempadan Iman; Bersyukur Saat Diuji dan anekdot Madinah; Benar, Dia Maha mendengar.  Beliau boleh dihubungi melalui laman web www.mudhkamil.org/home atau mkI@muhdkamil.org.










No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...