Tuesday, February 11, 2014

HANYA ALLAH TAHU







Manusia, Malaikat, Jin tidak mengetahui hal ghaib




CERMIN DIRI
by Idris Musa





UMUM manusia sifat suka kepada kelebihan dan kehebatan.  Masing-masing berusaha untuk mencapainya.  Namun, kadangkala manusia tersasar pada matlamat dan caa untuk mendapatkannya.





Salah matlamat apabila segala aspek itu bertujuan selain daipada Allah dan demi kepentingan diri semata-mata seperti untuk berbangga dan sombong, bahkan sampai ke peringkat menganiaya dan memperdaya orang lain.




Tersasar cara apabila orang itu menggunakan jalan yang tidak diredai Allah dan RasulNya.  Semuanya kerana ingin memperoleh segala dihajati, sehingga sanggup menolak ke tepi dosa dan pahala.  Mereka lebih mengutamakan kehendak diri, berbanding seruan Illahi.




Oleh keranan itu, ada yang terus mengintai peluang untuk mencuri dan merompak, menjadi tahi judi dan memakan riba.




Sekiranya diteliti pada satu sudut lain, ada pula sekelompok manusia menggunakan sihir, mengamalkan ilmu tertentu yang nyata kesesatannya menggunakan bantuan alam ghaib  seperti jin dan jembalang.





Dukacitalah bagi mereka yang terpalit dengan salah laku seperti itu kerana ia nyata dilarang dalam Islam.  Agama tidak pernah sekali-kali menganjurkan amalan seperti itu kerana ia nyata sesat lagi menyesatkan.  Bahkan memudaratkan diri dan  masyarakat.




Tidak salah ingin lebih haripada orang lain, tetapi  jika harta diperolehi itu  daripada pencurian, rompakkan, judi dan riba, nyata ia suatu kesalahan besar dan  dicela oleh Tuhan dan RasulNya.




Demikian juga untuk menjadi hebat, tidak salah sekiranya mempelajari ilmu pertahanan diri yang tidak bertentangan dengan anjuran agama.  Namun apabila beramal dengan ilmu tertentu sehingga tidak bersolat, ia menjadi suatu kesalahan besar.




Baru-baru ini, seorang lelaki dilaporkan tidak dapat bersolat kerana pantang larang ilmu diamalkanya untuk menjadi kebal.  Bukankah ia suatu yang nyata bertentangan dengan suruhan Allah.




Kemudian kita dilaporkan lagi dengan kes menelan bola besi, juga bagi menjadikan diri kebal ataupun luarbiasa daripada kebiasaan dan ia mengundang bahaya kepada pengamalnya.




Begitulah jadinya, apabila kita tidak meletakkan asas Islam iaitu al-Quran dan sunah sebagai panduan.  Kita boleh tersasar dalam mempertimbangkan sesuatu tindakan, sehingga tanpa sedar ia jauh menyimpang.




Sebenarnya banyak lagi salah laku membabitkan orang kita, cuma ia tidak digembar-gemburkan.  Beramal dengan ilmu pelik, memohon dengan makhluk halus serta percaya kepada tukang tilik dan tangkal.




Ini belum lagi mengambil kira segelintir mereka yang taasub kepada amalan tarekat dan ilmu hakikat tertentu sehingga lupa tanggungjawab zahir sebagai seorang Muslim.  Mereka lebih mengejar kepada hakikat ghaib, sedang mereka sendiri tidak memahaminya.



Orang yang mengamalkan ilmu pelik ini biasanya akan membacakan sesuatu  kalimah yang kerapkali tidak difahami.  Bunyinya seperti bahasa Arab, tetapi apabila diperiksa tiada dijumpai di dalam kamus.



Cara mengamalkan dan pantang larangnya juga aneh, seperti perlu dimulai pada waktu bulan mengambang, malam Selasa tidak boleh memakan jantung pisang dan tidak boleh melintasi bawah ampaian.



Satu kisah di awal 1990-an, seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah agama di Kota Bharu, Kelantan, tiba-tiba sahaja menepukkedua-dua tangannya seperti menepuk nyamuk ketika guru mengajar.



Perbuatannya secara spontan itu menarik perhatian seluruh rakan kelas Pembelajaran terganggu seketika.



Aneh dengan perbuatannya itu, terbukalah cerita mengatakan dia mengamalkan ilmu tertentu.  Seorang rakannya mengatakan dia ketika itu berkomunikasi dengan alam ghaibnya.  Mukanya pucat dan tidak seceria yang lain.




Oleh itu awaslah kita dengan ilmu tertentu.  Kita jangan mudah terpengaruh dan terus mengamalkannya kerana buruk padahnya.




Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul aulad fil Islam berkata "perkara ghaib memang tiada sesiapa yang mengetahuinya  melainkan Allah, malah tidak diperlihatkan oleh-Nya mengenai hal itu kepada seseorang kecuali yang diredhaiNya dari kalangan hambaNya seperti RasulNya.




FirmanNya dalam surah al-Jin, ayat 26 dan 27 bermaksud "Tuhan sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya  itu kepada sesiapa pun".




"Melainkan kepada sesiapa yang diredhaiNya dari RasulNya, maka dia mengadakan di hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya".




Justeru, sesiapa yang mendakwa mengetahui  hal yang ghaib, dia itu seorang pendusta  ke atas Allah dan kebenaran, juga kepada manusia seluruhnya.




Manusia maupun Malaikat dan Jin semuanya tidak mengetahui mengenai hal yang ghaib, melainkan apa diberitahu oleh Allah sahaja.




FirmanNya dalam surah an-Naml, ayat 65 bermaksud: "Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka mneyedari  bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula"






Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana,
Harian Metro

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...